"Emas Tetaplah Emas, Dimanapun Ia Berada"

Monday 9 September 2013

KEBUDAYAAN DALAM ISLAM

http://www.usahataqwa.com/wp-content/uploads/2013/04/Berkebudayaan.jpg 

Pada umumnya, kebudayaan yang sebenarnya ialah suatu hasil daripada daya pemikiran dan pemerahan tenaga lahir manusia, ia adalah gabungan antara tenaga fikiran dengan tenaga lahir manusia atau pun hasil daripada gabungan tenaga batin dan tenaga lahir manusia. Apa yang dimaksudkan gabungan antara tenaga batin (daya pemikiran) dengan tenaga lahir ialah apa yang difikirkan oleh manusia itu terus dibuat dan dilaksanakan. Apa yang difikirkannya itu dilahirkan dalam bentuk sikap. Maka hasil daripada gabungan inilah yang dikatakan kebudayaan.

Jadi kalau begitu, seluruh kemajuan baik yang lahir atau pun yang batin walau di bidang apa pun, dianggap kebudayaan. Sebab hasil daripada daya pemikiran dan daya usaha tenaga lahir manusia akan tercetuslah soal-soal politik, pendidikan, ekonomi, sastera dan seni, pembangunan dan kemajuan-kemajuan lainnya. Dan kalau begitu pengertian kebudayaan maka agama-agama di luar Islam juga boleh dianggap kebudayaan. Ini adalah kerana agama-agama seperti Budha, Hindu, Kristian (yang telah banyak diubah-ubah) itu lahir hasil dari pemikiran (idea-idea) manusia. Ia adalah ciptaan akal manusia.
Sebaliknya agama Islam tidak boleh dianggap kebudayaan sebab ia bukan hasil daripada pemikiran dan ciptaan manusia, bukan hasil budi dan daya (tenaga lahir) manusia. Agama Islam adalah sesuatu yang diwahyukan oleh Allah SWT. Oleh sebab itu siapa yang mengatakan bahwa agama Islam itu kebudayaan maka dia telah melakukan satu kesalahan yang besar dan boleh jatuh murtad, kerana dia telah mengatakan satu perkara mungkar, yang tidak sepatutnya disebut. Oleh kerana itu hendaklah kita berhati-hati. begitu banyak sekali ahli kebudayaan pada masa ini menyuarakan dengan lantang bahawa Islam adalah kebudayaan dengan alasan bahawa ia adalah cara hidup atau ‘way of life’ . Agama Islam adalah bukan kebudayaan, sebab ia bukan hasil daripada tenaga fikiran dan tenaga lahir manusia. Agama Islam adalah wahyu dari Allah SWT yang disampaikan kepada Rasulullah SAW yang mengandung peraturan-peraturan untuk jadi panduan hidup manusia agar selamat di dunia dan akhirat. tetapi agama-agama di luar Islam memang kebudayaan, sebab agama-agama tersebut adalah hasil ciptaan manusia daripada daya pemikiran mereka, daripada khayalan dan angan-angan.
Namun begitu walaupun agama Islam itu bukan kebudayaan tetapi ia sangat mendorong (bahkan turut mengatur) penganutnya berkebudayaan. Islam bukan kebudayaan tapi mendorong manusia berkebudayaan. Islam mendorong berkebudayaan dalam berfikir, berekonomi, berpolitik, bergaul, bermasyarakat, berpendidikan, menyusun rumahtangga dan lain-lain. Jadi, sekali lagi dikatakan, agama Islam itu bukan kebudayaan, tapi mendorong manusia berkebudayaan. Oleh kerana itu seluruh kemajuan lahir dan batin itu adalah kebudayaan maka dengan kata-kata lain, Islam mendorong umatnya berkemajuan. Agama Islam mendorong umatnya berkebudayaan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam bidang ibadah. Contohnya dalam ibadah yang asas iaitu sembahyang. Dalam Al-Qur’an ada perintah: Dirikanlah sembahyang. (Al-Baqarah: 43)
Perintah itu bukan kebudayaan kerana ia adalah wahyu daripada Allah SWT. Tetapi apabila kita hendak melaksanakan perintah “dirikanlah sembahyang” maka timbullah daya pemikiran kita, bagaimana hendak bersembahyang, di mana tempat untuk melaksanakannya dan lain-lain. Secara ringkas, kita pun bersembahyanglah setelah mengkaji Sunnah Rasulullah yang menguraikan kehendak wahyu itu tadi. Firman Allah:  Tiadalah Rasul itu berkata-kata melainkan wahyu yang diwahyukan padanya. (An Najm: 3-4)
Umpamanya kalau sembahyang berjemaah, kita berbaris, dalam saf-saf yang lurus dan rapat. Jadi dalam kita melaksanakan barisan saf yang lurus dan rapat itu adalah budaya, kerana ia hasil usaha tenaga lahir kita yang terdorong dari perintah wahyu.Dan kalau dilihat dalam ajaran Islam, kita dikehendaki bersembahyang di tempat yang bersih. Jadi perlu kepada tempat atau bangunan yang bersih bukan saja bersih dari najis tetapi bersih daripada segala pemandangan yang boleh menganggu kekhusyukan kita pada saat kita bersembahyang. Maka terpaksalah kita umat Islam menggunakan fikiran, memikirkan perlunya tempat-tempat sembahyang iaitu mushalla, surau atau pun masjid. Apabila kita membangun surau atau masjid hasil dari dorongan wahyu “Dirikanlah sembahyang” itu maka lahirlah kemajuan, lahirlah kebudayaan. Jadi agama Islam mendorong manusia berkebudayaan dalam beribadah padahal ia didorong oleh perintah wahyu “Dirikanlah sembahyang” yang bukan kebudayaan. Tapi kerana hendak mengamalkan tuntutan perintah wahyu ini, maka muncullah bangunan-bangunan masjid dan surau-surau yang beraneka bentuk dan di dalamnya umat Islam sembahyang berbaris dalam saf-saf yang lurus dan rapat. Ini semua merupakan kebudayaan hasil tuntutan wahyu.
Begitu juga dengan kebudayaan dalam bergaul dalam masyarakat dalam Al-Qur’an ada perintah: Hendaklah kamu bertolong bantu dalam berbuat kebajikan dan ketaqwaan. Dan jangan kamu bertolong bantu dalam membuat dosa dan permusuhan. (Al Maidah: 2) Perintah ini bukan kebudayaan. Tapi apabila kita hendak mengamalkan tuntutan dan kehendak perintah maka terbentuklah kebudayaan. Dalam kita bermasyarakat dan bergaul serta bergotong royong untuk membuat kebajikan dan kebaikan serta bergotong royong juga memberantas perkara dosa dan persengketaan tentulah perlu menggunakan fikiran. Setelah difikirkan untuk bergotong royong di tengah-tengah masyarakat, tentulah kita hendak melahirkan dalam bentuk tindakan dan sikap juga. maka terbentuklah kebudayaan dalam masyarakat. Demikian juga dalam Al-Qur’an ada larangan: Jangan kamu dekati zina. (Al Isra’: 32)
Larangan itu datang dari Allah SWT. Ia adalah wahyu bukannya kebudayaan kerana ia bukan ciptaan akal manusia. Tapi apabila saja kita hendak mengamalkan tuntutan perintah ini maka terpaksa kita menggunakan akal fikiran dan melaksanakannya dalam perbuatan dan sikap. Lalu apa saja unsur dalam pergaulan yang boleh membawa kepada zina akan kita fikirkan, dan fizikal kita segera mengelakkannya, seperti bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, pandang-memandang dan pembukaan aurat, semuanya akan kita hindari. Dengan itu nanti akan lahirlah budaya setelah difikirkan dan dilaksanakan dalam bentuk sikap dan perbuatan hasil daripada dorongan wahyu “janganlah kamu dekati zina.”
Seterusnya ada hadis yang berbunyi: Hendaklah kamu berniaga kerana sembilan peratus daripada rezeki itu adalah di dalam perniagaan. Ini adalah perintah (dorongan) daripada Rasulullah SAW yang hakikatnya daripada Allah juga, supaya umat Islam berniaga. Atas dasar ini lahirlah fikiran dan perahan tenaga akal dan fizikal lainnya ke arah itu. Dengan itu lahirlah kebudayaan Islam dalam bidang perniagaan. Lebih kuat penghayatan terhadap hadis ini, lebih banyaklah kebudayaan di bidang perniagaan yang dapt dicetuskan. Ini bererti umat Islam akan semakin maju. Dalam perniagaan Allah melarang riba, tipu daya, suap dan lan-lain. Ini adalah dasar-dasar kebudayaan Islam dalam bidang perniagaan.
Satu hadis lain berbunyi: Tidaklah percuma seorang Islam menyemai bijirin atau menenam tanaman, lalu dimakan daripadanya oleh burung dan manusia atau binatang, bahkan mendapat pahala sedekah. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hasil daripada dorongan hadis ini akan lahirlah kebudayaan Islam di bidang pertanian, fikiran dan tenaga lahir umat Islam diperah sungguh-sungguh untuk mengusahakan, memajukan dan memodenkan teknik-teknik dan hasil pertanian. Hasilnya terbentuklah kebudayaan Islam di bidang pertanian. jelaslah disini bahwa Islam bukanlah ajaran yang beku. Ia menetapkan prinsip-prinsip asas dan mengatur beberapa peraturan tertentu dan menyerahkannya sepenuhnya pada kebebasan akal dan tenaga manusia untuk membina kemajuan di bidang pertanian.
Rasulullah SAW bersabda: Yang halal jelas dan yang haram pun jelas, dan di antara kedua-duanya adalah kesamaran (syubhat), inilah yang banyak manusia tidak mengetahuinya, siapa yang takut syubhat akan selamatlah agama dan kehormatannya dan siapa yang terjebak di dalam syubhat dikhuwatirkan terlibat dengan yang haram. (Riwarat Bukhari dan muslim)
Dalam hadis yang lain Rasulullah ada menyebut yang ertinya: Hati ditempa oleh makanan minum.Umat Islam yang sensitif terhadap hadis ini akan berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan barang makanan yang bersih lagi suci di sisi syariat. Makanan mesti diproses secara Islam. Dengan ini timbullah daya usaha ke arah melahirkan kilang-kilang yang memproses makanan secara Islam, di mana penyediaan, pengemasan makanan dan penyimpanan makanan yang suci dan dijamin halal dilakukan. Oleh kerana itu, kebudayaan Islam di bidang perusahaan dan perindustrian makanan akan timbul dengan sendirinya. Kemajuan akan bangun dengan pesatnya. Jadi, kemajuan di bidang perindustiran makanan sewajarnya telah lama wujud dalam masyarakat Islam jika mereka benar-benar menghayati perintah Allah dan Rasul-Nya.
Dalam Al-Qur’an, Allah berfirman: Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (dengan) kekuatan apa saja yang kamu sanggupi daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berpasang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang tidak kamu ketahui, sedangkan Allah mengetahuinya. (Al Anfal: 60) Ayat Al-Qur’an ini adalah dorongan secara langsung daripada Allah supaya umat Islam membangun kekuatan ketenteraan untuk tujuan mempertahankan agama, kedaulatan negara dan bangsa. Jika umat Islam benar-benar memahami tuntutan ayat ini, mereka akan muncul sebagai satu kuasa yang gagah dan bermaruah dan tidak boleh diperkotak-katikkan oleh musuh, kerana disamping mempunyai kekuatan taqwa mereka juga mempunyai kekuatan senjata. Kita akan jadi umat yang dapat melengkapkan diri dengan senjata moden yang sophisticated dan moden. Dengannya umat Islam akan dapat mempertahankan diri dan dapat menentang setiap gangguan dan penzaliman dari pihak komunis dan kapitalis seperti yang terjadi hari ini. Tidak timbul soal negara-negara yang terpaksa “minta sedekah” dan dapat dipermainkan oleh negara-negara penjual senjata seperti apa yang terjadi di Timur Tengah pada saat ini. Inilah keindahan Islam bukan saja dapat mendorong manusia berkebudayaan dalam bidang kemasyarakatan atau perniagaan, malah Islam telah mendorong penganutnya mempunyai kebudayaan dalam bidang ketenteraan.
Begitu juga halnya dengan arahan-arahan lain dalam agama Islam ini, kalau dapat kita laksanakan akan lahirlah kebudayaan dan kemajuan dalam kehidupan kita. Jadi Islam itu mendorong orang berkebudayaan, Sebarang kehendak dalam ajaran Islam apabila difikir dan dilaksanakan dengan tenaga lahir akan melahirkan kemajuan. Kemajuan yang kita cetuskan hasil daripada dorongan agama Islam itulah yang dikatakan kebudayaan. Seandainya satu bangsa itu berfikir dan bertindak dengan tenaga lahirnya sehingga mencetuskan sesuatu yang tidak ditirunya dari mana-mana pihak, maka hasil daripada itulah yang dinamakan kebudayaan bangsa itu. Asalkan apa saja yang difikirkannya adalah tulen, tidak mengambil dari mana-mana fikiran bangsa-bangsa lain dan apa-apa yang dicetuskannya itu tidak meniru apa yang telah dibuat oleh orang lain, iatu segala-galanya betul dari apa-apa yang dihasilkan oleh bangsa itu sendiri, ia boleh dikatakan kebudayaan bangsa itu. Tetapi kalau satu bangsa itu memikirkan dan membuat sesuatu perkara yang sudah sedia dibuat atau difikirkan orang lain, maka bangsa itu adalah bangsa yang berkebudayaan bangsa lain namanya kerana ia memikirkan sesuatu yang memang telah difikirkan oleh bangsa lain. Ini namanya bangsa yang berkebudayaan bangsa lain bukan berkebudayaan sendiri.
Sebagai contoh, umat Islam hari ini memakai pakaian yang terbuka seperti skirt, gaun dan sebagainya. Ini adalah orang Islam yang berkebudayaan orang lain (Barat). apa yang dilakukan ini bukan kebudayaan Islam, tetapi kebudayaan orang lain yang diamalkan atau dilaksanakanoleh orang Islam. jadilah ia orang Islam yang berkebudayaan orang lain. Ertinya kalau kita meniru Jepun, maka jadilah kita orang Islam yang berkebudayaan Jepun. Tapi jikalau orang Melayu umpamanya, mencetuskan sesuatu dan apa yang difikirkan dan dibuat itu tidak pernah terfikir atau dicetuskan oleh sebarang bangsa lain di dunia ini, maka barulah apa yang dicetuskan itu dikatakan kebudayaan bangsanya, kebudayaan Melayu.
Kenapa ia boleh dikatakan sebagai kebudayaan Melayu? Sebab disudut fikiran, ia tidak diambil dari mana-mana bangsa, dan apa yang difikirkan itu belum pernah dicetuskan oleh sebarang pun di atas muka bumi ini. Sebagai contoh, katalah silau pulut, yang mana orang Jepun, orang Amerika dan lain-lain tidak pernah dibuat dan difikirkan. Kalau begitu tentulah terlalu banyak perkara yang telah dilakukan oleh masyarakat Islam sejak ratusan tahun dulu hingga zaman ini bukan dari kebudayaan Islam tetapi dikaitkan dengan kebudayaan Islam. Contohnya ada patung-patung yang pernah dibuat oleh orang-orang Islam ratusan tahun dahulu yang sudah dikaitkan orang dengan kebudayaan Islam. Mana ada dalam ajaran Islam yang membenarkan membuat patung? Itu sebenarnya adalah perbuatan orang Islam yang berkebudayaan orang lain. Perbuatan seperti ini terjadi juga dalam urusan membuat masjid. Contohnya dapat dilihat pada masjid Cordova Sanyol, yang tempat sembahyangnya dibuat sudah tidak mengikut cara Islam. Ia disalut dengan emas. Ini tidak dibenarkan sama sekali oleh ajaran Islam. Maka ini bukan kebudayaan Islam tetapi kebudayaan orang Islam. Begitu juga dengan pancutan air untuk mengambil wuduk yang keluar dari mulut singa atau rusa, itu bukan daripada ajaran Islam. Itu adalah kebudayaan orang Islam yang berkebudayaan orang lain.
Jadi apa sebenarnya kebudayaan Islam? Umumnya suatu yang dicetuskan itu bersih daripada sebarang percanggahan dengan ajaran Islam baik dalam bentuk pemikiran atau pun sudah berupa bentuk, sikap atau perbuatan, dan ia didorong oleh perintah wahyu. Itulah yang benar-benar dinamakan kebudayaan Islam. Sebab itu sebarang usaha lahir mahu pun batin yang bersih (tulen) yang dicetuskan oleh umat Islam itu hasil dari dorongan ajaran Islam (wahyu) yang tidak bertentangan dengan apa jua yang ada dalam ajaran Islam, maka barulah ia dinamakan kebudayaan (tamadun) Islam. Oleh kerana itu kalau kita tinjau, sebenarnya sangat sedikit kebudayaan Islam yang dapat kita lihat hari ini. Apa muncul ditengah-tengah masyarakat Islam di seluruh dunia sebenarnya adalah kemajuan dan kebudayaan hasil tajaan orang lain yang kita tiru, bukan kebuadayaan Islam. Maka jadilah kita orang Islam yang berkebudayaan orang lain. Kesimpulannya, jelaslah Islam bukan kebudayaan sebab ia bukan hasil ciptaan manusia. Walau bagaimana pun agama Islam itu mendorong orang berkebudayaan. manakala agama-agama di luar Islam memang kebudayaan sebab ia hasil kerja akal, khayalan dan angan-angan manusia itu sendiri. Justeru itu, jika ajaran agama Islam ini diamalkan seungguh-sungguh, umat Islam akan jadi maju. Dan dengan kemajuan yang dihasilkan itu, lahirlah kebudayaan atau tamadun. Makin banyak umat Islam mengamalkan hukum, semakin banyaklah kemajuan dihasilkan dan seterusnya makin banyak lahirlah kebudayaan atau tamadun Islam.


Sumber

 

No comments:

Post a Comment